Khamis, 25 Februari 2010

Belia Nadi Negara

Seperti apa yang selalu kita dengar dari penguar-uaran bahawa golongan belia adalah aset negara; generasi penerus yang bakal meneraju dan memimpin masyarakat dimasa akan datang. Generasi penerus inilah yang akan memikul jutaan tanggungjawab dalam mencarukkan kemajuan negara bangsa kita. Dengan demikian, golongan belia haruslah memiliki pola fikir yang mantap dan daya pemikirang yang intelek. Perkara ini amatlah mustahak dalam proses memajukan negara bangsa. Sesebuah negara tidak akan mencapai kemajuan sama ada dari segi fizikal mahupun spiritual tanpa adanya golongan belia yang berkualiti.
Apa yang dapat kita saksikan senario belia kita dewasa kini? Adakah kita cukup berbangga dengan belia kita yang kelihatan 'mabuk' dan 'terpukau' akan doktrin Barat?(bukan semualah maksud saya, sebilangan saja). Kemajuan teknologi Barat yang menjurus kepada pemujaan material tanpa menyubuk, meninjau, menjangkau dan mengingaui hal-hal keakhiratan merupakan kemajuan yang tidak boleh dipatuhi secara total. Kerana apa, kemajuan yang sebenarnya bukan hanya terletak kepada yang dapat dilihat oleh mata kasar, malah kemajuan juga mengambil kira tentang sesuatu yang dapat dilihat oleh mata hati. Apa guna negara maju dengan segala alat-alat canggih, bangunan-bangunan yang mencakar langit, kenderaan-kenderaan yang mewah dan seumpamanya jika akhlak bangsanya karing? Jangan sesekali kita memperlekehkan soal kebatinan ini kerana ia amat mustahak bagi kita untuk mencari makna hidup disusuli oleh mencari hikmah dan nikmat Maha Pencipta. Oleh kerana itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk menjadikan negara pengeluar minyak ini menjadi sebagai negara zikir. Makna zikir bukanlah hanya tertumpu kepada menyebut nama Allah Swt atau kebesaranNya, namun zikir dalam konteks negara zikir merupakan sesuatu yang amat luas ruangcakup maknanya termasuklah ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan, mencintai dan mementingkan ilmu pengetahuan, bangsa yang suka berfikir dan seumpamanya.
Persoalannya di sini, dapatkah kita simpulkan bahawa negara kita akan menjadi sebuah negara maju jika golongan belia kita hari ini sudah terombang ambing dari pengaruh Barat yang negatif? Akan tercapaikah hasrat wawasan negara kita 2035 dengan golongan belia yang memiliki pemikiran yang dangkal dan longgar? Apa yang penting ialah golongan belia kita haruslah membuat banyak persediaan sama ada persediaan dalam diri mahupun untuk umum. Ilmu pengetahuan yang dituntut haruslah berorientasikan Rabbani dengan menjadikan al-Quran dan as-sunnah sebagai sandaran atau rujukan. InsyaAllah dengan adanya golongan belia yang utuh kewibawaan, yang 'pandai', 'pintar' dan 'waras', negara kita akan menjadi sebuah negara yang maju dan digalati.
Pada hakikatnya walaupun tahap pendidikan di negara ini meningkat dari segi mutu dan kualitinya, tidak bermakna ia akan melahirkan masyarakat yang benar-benar 'pemandai' jika masyarakat kita sendiri tidak berkemahuan untuk 'memandaikan' diri. Bak kata pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'. Justeru, golongan belia haruslah memiliki kesedaran yang rapi tentang peripentingnya ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu, seseorang tidak akan dapat mencapai kesejahteraan dalam kehidupan. "Insan yang mencintai ilmu ialah insan yang suka berfikir". Fikirlah semua agar tidak fakir dalam menuju matlamat hidup.
Wallahuallam

A.Amin Jamaluddin
26 Februari 2010

Khamis, 11 Februari 2010

Tatapan Wajahmu (buat insan intanku)

Pabilaku menatap wajahmu;
hatiku terpaku, berdebar-debar lalu
berkata:
"inikah wajah Permaisuriku?"
alangkah bahagianya sentiasa
mendampinginya
alangkah indahnya
dunia diri mendakapnya
alangkah berserinya rupaku
pabila sentiasa bersamanya.

tanpa keluh-kesah jika senantiasa
disampingnya
tanpa tangis darah jika senantiasa
dekat dengannya

Langit mendung lembayong Melankolik
menggelitik jasadku
mudah-mudahan semua terkabul
segala keputihan hatiku.


Julai 2009
Sg. Buloh
A.Amin Jamaluddin

Minda Berputar

Kertas, Pena dan Kalam
ku coret dakwat gelap
agar terkhabar kepada para orang
hati membisu kaku...

Minda berputar
sebalih jajahan sembunyi
jajahan minda barat
sentiasa disanjung tinggi
mata-mata berfungsi
pembawa budaya keji


Julai 2009
Sg. Buloh
A.Amin Jamaluddin

Selasa, 9 Februari 2010

Nukilan kotak fikir

Berbicara tentang bahasa khususnya bahasa kebangsaan kita adalah sesuatu yang dianggap remeh, namun apakah keremehan pembicaraan mengenai hal ini tidak mampu membantu untuk menyadarkan masyarakat kita yang kelihatannya sudah lamah goyah dan berasa tidak yakin dengan bahasa ibunda?.Masyarakat kita sepertinya lena dibuai mimpi-mimpi barat yang mendewakan bahasa asing. Bahasa Melayu dilabelkan sebagai bahasa yang tidak berkualiti, bahasa label-labelan, bahasa rendah, bahasa ‘kampung’ dan bahasa dalam legitimasi perlembagaan. Kenapakah anggapan-anggapan terhadap kebolehan bahasa Melayu dipertikaikan oleh sebilangan masyarakat kita? Kenapakah masyarakat kita seringkali membuat asumsi yang karut marut tentang bahasa kita, bahawa bahasa Melayu tidak boleh dijadikan sebagai bahasa untuk perniagaan, teknologi, ekonomi dan sebagainya? Walhal, sejarah telah membuktikan bahawa tidak ada sebuah negara pun di dunia ini mampu memajukan negaranya dengan menggunakan bahasa bukan bahasa kebangsaan mereka. Jerman dan Perancis telah maju dengan kuasa bahasa mereka sendiri. Mereka pada mulanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran mereka, namun dengan kesedaran berbangsa, mereka enggan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran negara mereka. Di samping itu, India, Bangladesh, Filipina dan juga negara-negara Afrika menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran negara mereka. Apa telah terjadi kepada mereka?mundur!!. Justeru, kenapa masyarakat kita masih tidak percaya dengan bahasa kita?kenapa bahasa Inggeris juga diagungkan. Ramai (kebanyakan) daripada masyarakat kita berasa bangga dengan kebolehan berbahasa Inggeris. “anakku belajar di England”, “anakku belajar di Brunei ganya”. Bahasa Inggeris dilabelkan sebagai bahasa lingua franca, bahasa intelektual, bahasa budaya tinggi dan bahasa elit. Palebalan begini menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa global yang terpaksa diterima sebagai satu fait accompli. Memang tidak dinafikan, kebanyakan buku-buku di dunia ini adalah ditulis dalam bahasa Inggeris. Namun, ia hanya boleh dijadikan sebagai bahasa perantara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tanpa mengabaikan bahasa Melayu. Dari apa yang dapat diperhatikan berdasarkan senaria dewasa ini, terdapat banyak ‘pembiadaban’ bahasa berlaku. Pencampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa asing dalam percakapan seharian sudah seperti menjadi ‘budaya’ percakapan. Perangai ini semakin menjadi-jadi. Keaslian dan ketulenan bahasa akan semakin pudar. Ini dapat dibuktika bahawa ramai di kalangan muda-mudi kita tidak memahami maksud istilah-istilah bahasa Melayu. Ramai yang bangang dan bertanya ‘apakan ertinya tu?”. “ambilkanku belatakmu ah”. Berdasarkan kajian tentang kecerdasan dalam subjek Fisik dan Matematik di peringkat sekolah menengah yang telah dijalankan oleh golongan yang terlibat, menyatakan negara kecinaan (Jepun, Korea dan Taiwan) adalah negara yang mendapat tempat teratas. Negara-negara eropah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka hanya mendapat tangga ke-16. Siapakah yang lebih hebat?..Dengan kekuasanan yang kononnya diberikan kepada negara- negara ‘penjajah’ (neokolonial) menyebabkan para intelektual mereka disanjung tinggi tanpa melihat intelektual kelahiran timur. Jika dipertandingkan antara mereka ini, belum tentu orang timur akan kalah..

Kau dan Aku


Pabila mataku terbuka,

kau meronta-ronta tersiksa,

linangan air matamu mengalir tanda gembira,

aku 'mengiak-ngiak' kurnia Yang Maha Esa..


Kemudian aku sudah pandai merangkak,

kau membelaiku tanpa sesak,

keringatmu membesarkanku hingga aku

dapat berdiri tegak dan segak,

kau melindungiku dari teriakan

gagak-gagak,

Gagak-gagak hitam keluar dari hutan

semak..


Kau menghantarku ke bangku sekolah,

membekalkanku kata-kata pembakar semangat,

"nak!belajarlah, jangan mudah menyerah",

aku mengangguk dan berjanji tak akan

ingkar..


Akhirnya aku berada di kemuncak

aku memandang ke bawah lalu berkata

'Ayoo..marilah naik!!di sini terang!'

aku terus memanggil orang yang ada dibawah

agar mereka naik melalui tangga dengan ketabahan


Mac 2009

UBD

A.Amin Jamaluddin

Ahad, 7 Februari 2010

NILAI BUDAYA DALAM KESUSASTERAAN BRUNEI

PENDAHULUAN

NILAI BUDAYA merupakan salah satu elemen yang perlu ada pada sesebuah masyarakat. Ia merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf cara hidup sesebuah masyarakat yang mengamalkan way of life masing-masing. Selain itu, nilai budaya juga boleh difahami sebagai tahap ketinggian budaya sesebuah masyarakat termasuklah dari sudut pemikiran, agama, kemasyarakatan, ekonomi dan politik. Sebagaimana pendapat Koentjaraningrat (1984) yang mengatakan bahawa nilai budaya itu adalah tingkat pertama kebudayaan ideal atau adat. Nilai budaya juga merupakan lapisan paling abstrak dan luas ruang lingkupnya.[1] Oleh itu, bolehlah dianggap nilai budaya itu sebagai suatu nilai yang tertinggi dalam kehidupan bermasyarakat iaitu lebih menekankan aspek positif sahaja walaupun pada hakikatnya terdapat nilai budaya yang menjurus kepada hal-hal negatif.
Pelbagai wadah dewasa kini yang memperlihat dan menggambarkan nilai budaya bangsa kita sama ada berdasarkan media elektronik mahupun media bertulis. Salah satu cara untuk melihat nilai budaya kita adalah lewat tulisan-tulisan tradisi yang dikarang oleh pujangga bangsa kita yang terdahulu iaitu karya-karya kesusasteraan tradisional. Kesusasteraan tradisional berfungsi sebagai wadah hiburan di samping pengajaran untuk kegunaan masyarakat dahulu. Selain itu, ia juga merupakan pancaran kehidupan masyarakat. Justeru, terdapat banyak nilai-nilai budaya yang tentu saja berfungsi sebagai cerminan keadaan hidup masyarakat dahulu; memperlihatkan keadaan atau cara hidup bangsa kita yang sering kali diamalkan oleh nenek moyang kita umpamanya adat resam, kelakuan atau sikap mereka terhadap sesuatu perkara (pemikiran) dan sebagainya.
Untuk mengkaji, menilai, melihat dan menganalisa nilai budaya dalam kesusasteraan tradisional Melayu amnya dan kesusasteraan tradisional Brunei[2] khasnya, pendekatan ekstrinsik adalah pendekatan yang paling sesuai dijadikan pengukur timbang atau wahan kerana pendekatan ini melihat kenyataan di luar karya sastera itu sendiri;hal-hal yang mempengaruhi penciptaan dari luar, umpamanya hal-hal tentang masyarakat, politik, ekonomi, agama dan beberapa faktor budaya lain yang turut mengambil peranan dalam karya sastera.[3] Sedangkan pendekatan intrinsik hanya melihat unsur-unsur dalaman sesebuah karya sastera seperti plot, tema dan sebagainya. Oleh kerana kesusasteraan itu adalah cerminan masyarakat, pujangga sastera tradisional setentunya mengambil dan menuangkan segala apa yang dilihat, didengar dan dirasanya berdasarkan pengalaman hidup dalam lingkungan masyarakatnya walaupun dikatakan karya-karya sastera tradisional itu milik kolektif masyarakat, namun bukan bererti semua masyarakat bertugas sebagai pengarang atau pencerita? Hanya orang-orang yang tertentu sahaja memiliki kepakaran dalam menulis dan bercerita tentang tradisi sastera.


NILAI-NILAI BUDAYA DALAM KESUSASTERAAN TRADISIONAL BRUNEI
Tulisan ini hanya akan memfokuskan nilai-nilai budaya yang berbentuk positif. Tidak dinafikan terdapat juga nilai budaya yang negatif[4] dalam karya-karya sastera tradisional Brunei seperti merampas tunangan orang,[5] menggunakan ilmu sihir untuk faedah sendiri[6] dan sebagainya. Sekurang-kurangnya terdapat lima elemen utama nilai budaya masyarakat (berbentuk positif) kita yang dapat dikesan melalui karya-karya kesusasteraan tradisional milik bangsa kita iaitu tentang adat istiadat, pantang larang, sejarah, seni dan budaya dan adat masyarakat. Kesemua eleman nilai budaya ini jelas menggambarkan keadaan hidup masyarakat kita, yang tidak lain tidak bukan berfungsi sebagai wadah untuk mendidik masyarakat kita ke arah pembentukan masyarakat yang berbudaya tinggi dan digalati.

Adat Istiadat
Adat merupakan warisan budaya sesebuah masyarakat. Selain itu, ia juga merupakan sesuatu yang dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat pengamalnya kerana adat adalah budaya masyarakat yang dipraktik dan diwariskan secara turun-temurun dari generasi yang terdahulu.[7] Umpamanya, adat bermucang-mucang, tolong-menolong dan seumpamanya. Begitu juga halnya dengan masyarakat Brunei yang kaya dengan tatasusila, adat dan adab sehingga masyarakat Brunei terkenal dengan sebuah masyarakat yang mengamalkan konsep Berdangansanak atau persaudaraan/solidariti yang kuat dan memegang konsep ‘Biar mati anak, jangan mati adat’.
Selain adat yang pada lazimnya dipraktikan oleh sekelompok masyarakat secara informal, terdapat juga jenis adat tertentu yang hanya dilakukan pada majlis-majlis formal umpamanya adat berpuspa, adat berjaga-jaga, adat mandi berlawat, adat basuh kaki(bagi puak Tutong), adat berpacar, adat mandi berlangir dan sebagainya. Kesemua jenis adat berkenaan merupakan adat yang dilakukan ketika majlis perkahwinan orang Brunei. Dalam karya-karya kesusasteraan tradisional Brunei, terdapat beberapa jenis adat yang tergambar seperti adat berpuspa dalam Salasilah Raja-Raja Brunei, adat berjaga-jaga dalam Hikayat Awang Si Kanak dan adat mandi berlangir dalam Hikayat Awang Kamaruddin.
Dalam Salasilah Raja-Raja Brunei, diceritakan tentang adat istiadat bagi golongan atasan iaitu sultan. Adat istiadat ini dikenali sebagai Adat Istiadat Diraja. Umpamanya tergambar tentang adat berpuspa pada zaman Sultan Muhammad Hasan, sultan Brunei yang ke-8. Adat berpuspa ini digambarkan ketika Sultan Muhammad Hasan menaiki takhta kerajaan dan diraikan secara besar-besaran yang penuh dengan adat istiadat.



“...raja yang berpuspa dengan cukup lengkap alamat kebesarannya ialah Baginda yang termegah dan keras di atas takhta kerajaan tiada kekurangan sharat raja cukup dengan wazir chateria manterinya dan beberapa penglima, patih, damong, pengarah hulubalang laskar penggawanya’
(Pg. Sabtu Kamaluddin, 1986, hlm. 2)
Selain adat berpuspa, terdapat juga Adat Istiadat Diraja yang lain seperti adat berjaga-jaga yang tergambar dalam Hikayat Awang Si Kanak. Adat berjaga-jaga yang tergambar dalam Hikayat Si Kanak ini diiringi dengan pelbagai aktiviti adat khusunya paluan gendang, tiupan seruling dan seumpamanya. Sebagai contoh semasa adat berjaga-jaga, adanya orang memalu gendang jaga-jaga dan diiringi dengan paluan nakara[8], tiupan seruling dan seumpamanya. Memang pada lazimnya, jika berlangsung suatu perkahwinan Diraja di Brunei, ia akan dimulai dengan adat berjaga-jaga terlebih dahulu kerana salah satu fungsinya adalah untuk meraikan dan menyambut pengantin baru Diraja secara besar-besaran. Gambaran bagi adat berjaga-jaga ini dapat dibuktikan pada konteks berikut:

“maka sekalian hamba rakyat kurang daripada satu empat puluh dalam Negeri Gelombang Tujuh disuruh oleh Malim Besar, Malim Kedua dengan permainan masing-masing sepanjang masa pekerjaan berjaga-jaga itu:
lain memalu gendang peningkah,
cukup dengan nobat nafiri,
cukup dengan nakara nakiri,
lain meniup suling bangsi,
cukup dengan abab kecapi...”
(Rahim Dulani, 1997, hlm. 114)
Sementara dalam Hikayat Awang Kamaruddin, terdapat juga adat istiadat perkahwinan Diraja iaitu adat mandi berlangir yang digambarkan ketika Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa akan melangsungkan perkahwinan dengan Awang Kamaruddin. Menurut kepercayaan orang Brunei, adat mandi berlangir ini adalah dimestikan/diwajibkan kepada bakal-bakal pengantin baru agar mereka terpelihara dari gangguan Jin atau makhluk jahat. Sementara secara logiknya, mandi berlangir adalah bertujuan agar bakal pengantin sentiasa dalam keadaan yang bersih seperti sentiasa dalam keadaan yang wangi/harum.

“Sesudah sebentar ia berdua pun sudah datang ke permandian Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Maka Raja Muda Indera Bongsu dahulu memandihi Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Ditanai-tanainya langir dengan dikenang-kenangnya sesaat Penuduh Burung orang tuha-tuha lagi dahulu..”
(Rahim Dulani, 1992, hlm. 43)

Dari ketiga-tiga adat istiadat di atas, cukup membuktikan bahawa terdapat nilai-nilai budaya yang tinggi tarafnya di sisi masyarakat Brunei. Nilai-nilai budaya yang terpamer menerusi karya-karya kesusasteraan tradisional Brunei merupakan cerminan kepada masyarakat Brunei sendiri yang dikatakan sebuah masyarakat yang kaya dengan adat istiadat, tatacara hidup yang sistematik dan seumpamanya. Justeru nilai budaya merupakan tatacara hidup yang tertinggi yang diwariskan amalannya kepada generasi baru.

Pantang Larang
Pantang-Larang merupakan tegahan kepada seseorang atau sekelompok masyarakat yang melakukan sesuatu di luar kelaziman budaya masyarakatnya. Pantang-larang wujud setelah terdapat suatu perkara yang tidak diingini atau tidak disukai oleh seseorang individu atau sesebuah masyarakat. Dalam erti kata yang lain, pantang- larang adalah tegahan kepada seseorang individu atau sekelompok masyarakat yang melakukan sesuatu di luar kelaziman. Jika sesuatu perkara itu tidak bersesuaian dengan kehidupan masyarakat, masyarakat itu sendiri yang menegah dari melakukannya seperti memakai pakaian berwarna kuning ketika berlangsung majlis Diraja, bernyanyi ketika sedang memasak, melanggar perintah raja dan seumpamanya.
Dalam kesusasteraan tradisional Brunei, terdapat banyak pantang-larang yang dipatuhi akan tegahannya sama ada jika sesuatu tegahan dilanggar akan dijatuhkan hukuman ke atas si pelaku atau hanya dilarang sahaja tanpa dijatuhkan sebarang hukuman. Perkara ini tergantung pada situasi tertentu sama ada larangan itu adalah dari raja atau dari rakyat. Jika larangan itu dibuat oleh raja, maka hukuman akan dijatuhkan kepada si pelaku yang melanggar larangan tersebut menurut undang-undang yang telah ditetapkan. Begitu juga sebaliknya, jika larangan itu adalah berasal/dibuat oleh rakyat sendiri, tiada hukuman akan dijatuhkan kepada si pesalah malah terdapat ia hanya sebagai sekadar larangan yang mungkin saja terselit banyak motif disebalik larangan tersebut.
Pantang larang yang boleh dilihat berdasarkan Hukum Kanun (Brunei) ialah seperti larangan kepada rakyat biasa daripada memakai sebarang pakaian yang berwarna kuning. Kerana menurut kepercayaan orang Melayu amnya dan orang Brunei khasnya, warna kuning memiliki unsur ‘mana’ yang juga mengandung kesakralannya[9] yang tersendiri. Pendek kata, warna kuning adalah milik/kepunyaan raja yang tidak boleh dimiliki atau dipakai oleh rakyat biasa. Jika larangan ini dilanggar, maka hukuman bunuh akan dijatuhkan ke atas si pelakunya. Berikut diperturunkan Fasal dalam Hukum Kanun (Brunei) tentang larangan kepada rakyat daripada memakai pakaian yang berwarna kuning. Jika sekiranya larangan itu dilanggar, maka hukuman bunuh akan diberikan ke atas pelakunya.

“Fasal yang pertama pada menyatakan adat majlis segala raja dan pakaian segala raja dan segala larangannya raja itu dipakai segala rakyat itu. Maka ketahui olehmu bahawa tiada harus dipakai seperti kekuningan pada orang besar-besar itu, jikalau dipakai oleh orang lain dengan tiada anugeraha itu, dibunuh hukumnya itu.”

(Haji Asri bin Haji Puteh (penyusun), 2003, hlm. 2)

Perkara ini dikukuhkan lagi berdasarkan serangkap pantun Brunei yang menyatakan ketinggian darjat warna kuning. Warna kuning digunakan untuk kenaikan raja sahaja yang digambarkan begitu pantas serta sakti.

Lancang Kuning tangkas dan laju
Kenaikan raja yang amat sakti
Jika dipandang sepintas lalu
Belum terasa senang di hati[10]

Selain pantang larang tentang tegahan rakyat dari memakai sebarang pakaian yang berwarna kuning, terdapat juga tegahan lain yang boleh membawa hukuman bunuh seperti larangan kepada rakyat dari melanggar perintah raja. Perkara ini juga tergambar dalam Hukum Kanun (Brunei) dalam bab kedua.
“Fasal yang kedua pada menyatakan hukum bahasa segala raja-raja itu lima perkara. Tiada dapat kita menurut kata ia melainkan dengan titah tuan kita juga. Pertama /7/ titah, kedua patik, ketiga murka, keempat kunia, kelima anugeraha. Maka segala kata ini tiada dapat kita mengatakan dia dan jikalau hamba raja mengatakan dia dibunuh hukumannya. jikalau orang lain digucuh.”

(Haji Asri bin Haji Puteh (penyusun), 2003, hlm. 3)

Selain pantang larang yang dibuat oleh golongan atasan, terdapat juga pantang larang yang dibuat oleh rakyat biasa. Pantang larang sebegini hanya melarang masyarakatnya dari melakukan perkara-perkara yang dianggap tidak lazim untuk dilakukan atau sumbang di mata masyarakat untuk dilakukan. Di sebalik larangan tersebut, terungkap motif-motif yang tertentu. Umpamanya pantang larang yang berbunyi berabai rambut semasa memasak menjauhkan rezeki. Menurut Hadijah Haji Hassan, pantang larang ini ditujukan kepada semua orang khususnya kepada perempuan yang sedang memasak. Larangan ini dibuat adalah semata-mata bertujuan menghindari dari sesuatu yang tidak diingini berlaku seperti dengan rambut yang berabai, dikhuatiri rambut jatuh ke dalam masakan. Jika masakan atau makanan sudah bercampur dengan rambut, dengan sendirinya ia dianggap kotor dan orang hendak makan akan berasa kambang liur dan mungkin akhirnya makanan itu dibuang begitu sahaja sehinggalah berlaku pembaziran. Sebagai pengajaran, pantang larang ini merupakan peringatan daripada orang tua-tua agar anak-anaknya supaya sentiasa berkeadaan bersih dan kemas ketika memasak. Agama kita juga menitikberatkan soal kebersihan dalam kehidupan kita.[11]
Dari contoh-contoh di atas ternyata kesusasteraan tradisional Brunei menggambarkan nilai sosial dan budaya masyarakat Brunei. Pantang-larang yang tergambar lewat karya-karya sastera tradisional Brunei merupakan salah satu nilai budaya yang menggambarkan masyarakat Brunei yang sememangnya memiliki sistem kehidupan yang beradat/berperaturan demi menjaga kesejahteraan hidup bermasyarakat.





Sejarah
Sejarah merupakan peristiwa lampau yang diingat oleh manusia. Manusia yang tidak mengetahui/mengingat sejarah hidupnya adalah manusia yang lupa akan asal usulnya. Tidak ada seorang manusia pun di muka bumi ini yang lahir tanpa sejarah waima seorang bayi yang telah meninggal dunia sebaik saja ibunya melahirkannya; sejarahnya, dia meninggal dunia setelah ibunya menghadapi keperitan bersalin. Pada lazimnya catatan sejarah hanya berkisar dari peristiwa-peristiwa yang penting bagi seseorang. Dalam erti kata yang lain sejarah merangkumi kesemua rekod zaman lampau sama ada berbentuk kesusasteraan, undang-undang, kesenian, kebudayaan, agama, falsafah dan seumpamanya yang telah dialami oleh manusia.[12]
Oleh kerana kesusasteraan tradisional merupakan cerminan masyarakat dahulu, setentunya ia juga menggambarkan nilai-nilai budaya masyarakat termasuklah sejarah sesebuah masyarakat. Catatan sejarah yang dimaksudkan ialah seperti catatan sesuatu peristiwa penting yang dialami oleh sesebuah negara termasuklah tentang peperangan, asal usul kejadian tempat, susur-jalur raja-raja dan seumpamanya. Dalam kesusasteraan tradisional Brunei, terdapat beberapa gambaran nilai budaya yang berbentuk sejarah seperti sejarah Perang Kastila, sejarah pembukaan negeri Brunei dan termasuklah beberapa cerita asal usul kejadian tempat seperti asal usul Lumut Lunting, Sungai Si Amas dan sebagainya.
Berdasarkan sejarah negara Brunei Darussalam, telah terjadi satu peristiwa pahit yang dialami oleh negara ini. Peristiwa pahit ini terjadi apabila berlaku satu peperangan di antara Brunei dan Sepanyol. Sepanyol pada ketika itu berikhtiar/cuba untuk meng-Kristian-kan Brunei berdasarkan sisitem politik yang dibawa mereka. Namun atas keberanian dan kekuatan berugama dan semangat bernegara di kalangan orang-orang Brunei, segala niat buruk bangsa Sepanyol itu telah berjaya digagalkan.[13] Peperangan ini dinamakan sebagai Perang Kastila (perang saudara). Dalam Salasilah Raja-Raja Brunei ada mencatatkan sejarah pahit ini. Oleh kerana Filipina adalah dibawah jajahan Sepanyol, maka perang Kastila yang dicatatkan dalam Salasilah Raja-Raja Brunei ini menyatakan bahawa perang Kastila adalah peperangan antara Brunei dan orang Sepanyol yang menatap di ibu kota Pilipina, Manila. Peperangan ini terjadi semasa zaman pemerintahan Sultan Saiful Rijal, sultan Brunei yang ke-7.
“..Baginda yang cukup sharat raja yang memerintah di atas takhta kerajaannya dan pada masa Bagindalah berperang dengan orang Kastila yakni Manila ialah dan pada masa itu cukup wazir chateria menterinya dengan laskar hulubalang panglimanya dan masa perang itu wazirnya Bendahara Raja Sakam yang sangat gagah berani menghadap peperangan tetapi satu riwayat..”

(Pg. Sabtu Kamaluddin, 1986, hlm. 2)
Selain sejarah perang bangsa Brunei, terdapat juga sejarah pembukaan negeri Brunei. Perkara ini lazim didapati pada karya-karya sastera sejarah Nusantara. Umpamanya, dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu ada menceritakan tentang pembukaan negeri Melaka. Begitu juga halnya dengan epik bangsa Brunei iaitu Syair Awang Semaun yang mengisahkan tentang sejarah pembukaan negeri Brunei. Perkara ini boleh dilihat pada permulaan cerita dalam Syair Awang Semaun.

Asal Brunei kita nyatakan
Awang Alak Betatar kita khabarkan
Asal negeri keinderaan
Di atas awan berkawan-kawan

Walaupun gambaran pembukaan negeri Brunei dalam Syair Awang Semaun ini kelihatannya tidak masuk akal, namun perkara ini adalah lazim terjadi dalam karya-karya sastera tradisional Melayu lainnya seperti sejarah pembukaan negeri Samudera dalam Hikayat Raja-Raja Pasai adalah berpunca dari rentetan peristiwa seekor semut besar berada di atas bukit yang kemudiannya dimakan oleh sultan Malik’ul Salleh. Gambaran yang digambarkan oleh para pujangga Melayu itu adalah bertujuan semata-mata untuk mengangkat/mengagungkan negaranya sendiri. Negara Brunei dikatakan berasal dari negeri kayangan; sesuatu yang tinggi martabatnya yang tidak ada tolak bandingnya. Jika diperhatikan pada karya-karya tradisional yang lain, tidak ada sesebuah negeri yang berasal dari bumi nyata dan dunia realiti. Rata-rata mengambil kayangan (keinderaan) sebagai asal negeri.
Selain gambaran sejarah pembukaan negeri Brunei, teradapat juga sejarah yang berbentuk asal usul kejadian sesuatu tempat seperti asal usul sebuah pulau di Brunei yang agak popular. Dalam Syair Awang Semaun, terdapat gambaran yang memperlihatkan asal usul pulau Lumut Lunting iaitu berasal dari seekor ayam yang bernama Mutiara kepunyaan Awang Alak Betatar yang telah jatuh ke sungai Brunei setelah bersabung dengan ayam kepunyaan Betara Majapahit iaitu Asmara.


Asal usul Lumut Lunting;
Ayam Mutiara terbang menyiring
Serta menybarang ke tengah aing
Ayam Mutiara gugur berpusing
Menjadi batu si Lumut Lunting.

(Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid, 1994, hlm.179)

Berdasarkan sejarah-sejarah yang tergambar dalam karya-karya kesusasteraan tradisional Brunei itu tadi, ternyata unsur sejarah merupakan salah satu elemen dalam nilai budaya bangsa. Oleh kerana itu, nilai budaya menggambarkan keadaan budaya masyarakat terdahulu yang berfungsi sebagai peneguh budaya bangsa.

Seni
Seni merupakan sesuatu yang halus serta indah. Terdapat banyak elemen dalam kesenian seperti seni bina, seni sastera, seni suara, seni lagu, seni ukir, seni lukis dan seumpamanya. Tidak semua orang dapat memiliki keupayaan berseni. Seni adalah sesuatu elemen budaya yang memiliki nilai yang tinggi. Seni juga merupakan sesuatu yang dilakukan oleh seseorang manusia atau kelompok masyarakat tertentu dengan cara yang halus berasaskan unsur keindahan. Dari dahulu lagi, seni wujud seiring dengan kelahiran manusia. Sastera juga wujud sejajar dengan kelahiran manusia, ketika manusia pandai bercakap dan berkomunikasi sesama sendiri. Justeru terdapat gambaran-gambaran tentang seni ini lewat karya-karya sastera tradisional Brunei umpamanya seni mempertahankan diri, seni sastera, seni bina dan sebagainya.
Seni sastera banyak didapati dalam pantun-pantun Brunei kerana terdapatnya unsur-unsur keindahan, pertautan, keseimbangan, dan kesatuan. Namun begitu, bukan semua pantun Brunei memiliki ciri-ciri berkenaan. Hanya pantun yang baik sahaja memiliki pertautan dan keseimbangan tersebut. Contoh pantun Brunei yang dianggap baik adalah seperti berikut:

Kura-kura si labi-labi,
Anak buaya terenang-renang;
Singapura baharu jadi,
Kain sutera bercampur benang.


Berdasarkan pantun di atas, ternyata ia memiliki kesaratan makna serta pertautan antara perkataan demi perkataan dan baris demi baris. Justeru terbukti bahawa masyarakat Melayu memiliki daya pemikiran yang tinggi. Jika ditinjau dari maksud dan bentuk pantun di atas, terbukti orang Melayu memiliki daya kesenian sastera yang tinggi kerana adanya kesaratan makna, keseimbangan, korelasi dan keindahan.
Selain seni sastera, seni mempertahankan diri juga merupakan rempah-ratus dalam kesusasteraan tradisional Brunei kerana hampir semua karya-karya sastera tradisional Brunei memperlihatkan perkelahian, peperangan, kehebatan dan seumpamanya khususnya dalam sastera lisan Brunei seperti Hikayat Awang Si Kanak, Hikayat Si Bujang Maliwala, Hikayat Awang Si Ambok, Diangdangan Bujang Si Gandam dan sebagainya. Dalam kesusasteraan tradisional Brunei, terdapat banyak menggambarkan seni mempertahankan diri seperti yang tergambar dari kepahlawanan seseorang tokoh pahlawan seperti Awang Semaun yang dikatakan memiliki kehebatan dalam seni mempertahankan diri sehinggakan tiada seorang pun di kalangan musuh-musuhnya dapat menandingi kehebatannya. Selain itu, dalam Hikayat Si Bujang Maliwala juga ada menggambarkan seni mempertahankan diri yang tinggi yang dimiliki oleh Si Bujang Maliwala; beliau dapat mengalahkan sejumlah tentera Sultan Ketiga Si Bongsu Amas Kayangan yang begitu besar jumlahnya.

“Amba rakyat pun menatak Si Bujang Maliwala,
Si Bujang Maliwala manyingkir akan,
Batisnya tiada lastak ka bumi,
Lehernya tiada dapat disintak,
Manyaru Allah Si Bujang Maliwala.

(Ampuan Haji Sabtu, 1988, hlm. 39)

Dari contoh-contoh mengenai seni di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam kesusasteraan tradisional Brunei, terdapat unsur seni yang boleh dilihat sama ada seni berdasarkan bentuk karya atau cerita di dalam karya berkenaan.

Budaya/adat masyarakat
Budaya merujuk kepada cara hidup atau the way of life sesebuah masyarakat. Perkataan budaya adalah diambil dari perkataan ‘budi’ dan ‘daya’. Semua bangsa atau sekelompok komuniti masyarakat memiliki budayanya yang tersendiri termasuklah tatacara dalam kehidupan, budaya benda dan budaya pengucapan.
Masyarakat melayu Brunei terkenal dengan masyarakat yang berkebudayaan tinggi. Ini terbukti terdapatnya tatacara hidup tertentu yang diamalkan oleh orang Brunei hingga ke hari ini. Umpamanya, konsep berdangansanak atau persaudaraan yang kuat, lutanan, sikap kekitaan, tolong menolong, bersopan santun dan seumpamanya. Selain itu juga, terdapat kepercayaan-kepercayaan orang Brunei seperti kepercayaan tentang kepunan (kempunan), kepercayaan mimpi dan sebagainya. Oleh kerana karya-karya tradisional Brunei adalah milik kolektif masyarakat Brunei, maka terdapat banyak gambaran-gambaran budaya orang Brunei walaupun pemerian watak bukanlah watak realiti wujud di dunia nyata. Namun ia merupakan gambaran masyarakat Brunei sendiri berdasarkan perlambangan-perlambangan tertentu.
Dalam Hikayat Si Bujang Maliwala ada menceritakan tentang adat bersopan santun. Adat ini merupakan sesuatu yang paling diutamakan dalam kehidupan kerana ia melambangkan keperibadian serta identiti sesuatu bangsa. Gambaran bersopan santun ini dapat dilihat dalam Hikayat Si Bujang Maliwala tentang bagaimana Bungku Inang berjalan secara bersopan dan beradat. Gambaran ini diperlihatkan oleh pencerita seperti berikut:

Bungku Inang pun bajalan,
Ditarik tapih kain cancawi damit,
Bajalan mambuang limbai,
Limbai kanan sambangan lalu,
Kairi alang manari,
Salah limbai dijulang akan,
Salah langkah diundur akan,
Alus manis dagang disurat,
Tingkah lakunya manis sebagai pakis yang layu.

(Ampuan Haji Sabtu, 1988, hlm. 7)

Selain adat bersopan santun, terdapat juga tatacara masyarakat yang tinggi nilainya seperti tolong menolong yang tergambar pada Hikayat Seri Rama ketika pengembaraan antara Seri Rama dan Laksamana untuk mencari Siti Dewi. Dalam pengembaraan itu, mereka telah ditolong oleh Jentayu dan burung bangau. Selain itu, ada juga mengisahkan sikap tolong menolong sesama rakyat dalam sama-sama membuat tambak untuk jambatan ke Pulau Langkapuri. Perkara ini boleh diperhatikan dari petikan di bawah.

Setelah sudah memberi nugeraha, maka Maharaja Seri Rama pun memulai pekerjaan menambak laut titian ke Negeri Langkapuri itu. Lalu dibahagi oleh Seri Rama bahagian Hanuman akan mengangkat dan membongkar segala batu dan bukit..

(Awang Ahmad, 1987, hlm. 120)

Berdasarkan gambaran tentang sikap tolong menolong di atas terdapat pengajaran tersirat disebaliknya iaitu dalam hidup bermasyarakat, perlu ada sikap tolong menolong sesama sendiri kerana dengan ada sikap ini, ia akan membuahkan keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Selain itu, sesuatu pekerjaan akan menjadi ringan jika dilakukan dalam jumlah pelaku yang ramai jika dibandingkan dengan hanya dikerjakan oleh seorang sahaja.
Selain gambaran tentang sikap tolong menolong, terdapat juga sistem kepercayaan masyarakat yang masih kental. Umpamanya kepercayaan mimpi dalam Hikayat Si Kanak. Perkara ini tergambar ketika Sultan Muda Laila Bungsu yang telah bermimpi tentang ayam biring kuning terlepas ke dalam lingkaran emas. Mimpi baginda itu dipercayai sebagai alamat buruk iaitu bahawa tunangannya telah dirampas orang. Lantas baginda sultan pergi mencari tunangnya itu.

...adalah aku bermimpi, babu, ayamku biring kuning terlepas ke dalam lingkaran emas. Payahku babu eee, mengukur-memius. Makin kukukur makin kupius, makin jauh pula perginya,” katanya. Inang pengasuhnya tunduk tidak segera berkata.

(Rahim Dulani, 1987, hlm. 68)

KESIMPULAN

Dari pernyataan-pernyataan yang telah dihuraikan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat banyak nilai budaya yang tergambar lewat karya-karya tradisional Brunei sama ada yang berbentuk puisi atau prosa. Sekurang-kurangnya terdapat lima elemen asas yang tergambar dari karya-karya kesusasteraan tradisional Brunei iaitu dari sudut adat istiadat, pantang-larang, sejarah, seni dan budaya/adat masyarakat. Berdasarkan kelima-lima elemen budaya tersebut, ternyata ia berfungsi sebagai cerminan budaya masyarakat Brunei sendiri termasuklah sistem kehidupan masyarakat Brunei yang penuh dengan adat, tatacara hidup, peraturan, adab, kesopanan, nukilan pensejarahan, kesenian dan budaya yang luhur digalati oleh bangsa lain. Justeru, kesemua elemen budaya yang dihuraikan di atas adalah bertitik tolak dari pengalaman pujangga dahulu yang tentu saja hidup dalam lingkungan yang berkebudayaan tinggi.
Secara umumnya, kesusasteraan tradisional Melayu merupakan pancaran kehidupan masyarakat Melayu. Antara pemaparan yang begitu ketara ialah tentang nilai budaya masyarakat Melayu yang begitu tinggi tarafnya di sisi masyarakat. Dengan adanya pemaparan nilai-nilai budaya ini, dengan secara tidak langsung, ia menjadikan kesusasteraan tradisional Melayu itu sebagai wadah pemangkin dan peneguh budaya bangsa yang patut dibangga dan disanjung tinggi. Jadi jelas bahawa dengan adanya nilai-nilai budaya Melayu dalam kesusasteraan tradisional Melayu mampu memperagakan budaya orang Melayu serta sekali gus mengangkat nilai kesusasteraan tradisional Melayu per se.



























BIBLIOGRAFI
Awang bin Ahmad, (Drs.), 1987. Hikayat Seri Rama. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_________, 2000. Diangdangan Bujang Sigandam. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah, (Dr.), 2005. Syair Rajang: Penyelenggaraan dan Analisis Teks. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_________, 2006. Fungsi Sastera. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ampuan Haji Sabtu bin Ampuan Saifuddin, 1988. Hikayat Si Bujang Maliwala. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Edwar Djamaris, “Menggali Nilai-Nilai Budaya dalam Sastra Lama”, dalam Pangsura, keluaran Januari-Jun 2001.
Efe E. E.H.W., “Pantun Gambaran Kehidupan Masyarakat Melayu”, dalam Bahana, keluaran Mei 2003. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Gira Ujan, 2008. Pengantar Sejarah Kesusasteran Klasik Melayu Brunei. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hadijah Haji Hassan, 2006. Pantang Larang Kitani. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hajah Vivi Nor’Haffizah, “Kesusasteraan Klasik Melayu: Peranan Tradisi dan Konvensi Dalam Penghasilannya”, dalam Bahana, keluaran Ogos 2007. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haji Asri bin Haji Puteh (Penyusun), 2003. Hukum Kanun. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid, 1994. Riak Sastera Darussalam. Kuala Lumpur: Hikmah Enterprise.
__________, (Dr.), 1999. Cerocok Budaya Brunei. Gadong: Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam.
__________, 2001. Lanang Beladu Lanang (Pengantar & Koleksi Pantun). Gadong: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.
__________, 2002. Bicara Sastera Brunei. Gadong: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.
__________, (Prof. Madya Dr.), 2003. Islam Di Brunei Darussalam: Satu Analisis Sosio-Budaya. Gadong: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.
__________, 2005. Tamadun Brunei: Suatu Dinamika dan Ketuanan Melayu. Barong-Barong Pabalat: Prof. Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid.
Haji Kassim Haji Omar, 2009. Unsur-Unsur Dakwah dalam Syair Awang Semaun. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan:edisi keempat. 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koentjaraningrat, 1984. Kebudayaan, Mentalitas dan Pembangunan. Jakarta: PT Gramedia.
Mohd. Taib Osman, 1988. Bunga Rampai Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh, (peny.), 1997. Teks Cerminan Nilai Budaya Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pg. Sabtu Kamluddin bin Pg Bendahara Muhamamd, 1986. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah Brunei.
Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Jamir Al-Sufri, (Dr.), 2002. Sejarah Sultan-Sultan Brunei Menaiki Takhta. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah Brunei.
Rahim Dulani, 1986. Hikayat Awang Si Ambok. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_________, (peny.),1992. Hikayat Awang Kamaruddin. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_________, 1997. Hikayat Awang Si Kanak. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sharyanty Haji Md. Sharif, “Sastera Klasik Brunei”, dalam Bahana, keluaran Jun 2007. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Aisah Murad, (peny.), 1996. Konsep Nilai dalam Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
T. Ab. Hamid, “Masyarakat Melayu Tradisi: Alam Sekeliling Banyak Mempengaruhi Kehidupannya”, dalam Bahana, keluaran Jun 2003. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Teuku Iskandar, 1995. Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad. Gadong: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.
Yura Halim, 1993. Adat Mengulum Bahasa. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[1] Koentjaraningrat, 1984. Kebudayaan, Mentalitas dan Pembangunan. Jakarta: PT Gramedia.
[2] Antara kata ‘klasik’, ‘tradisional’ dan ‘lama’ sememangnya bersinonim. Padahal jika diteliti dengan lebih rinci lagi dari aspek pemaknaan ketiga-tiga kata tersebut, ternyata ketiga-tiganya membawa makna yang berbeza. Perkataan ‘klasik’ lebih kepada nilai dan mutu. Umpamanya, nilai-nilai murni yang terdapat dalam karya-karya sastera terdahulu. Ada karya yang memiliki mutu yang tinggi dan ada pula sebaliknya. Sementara perkataan ‘tradisional’ lebih menjurus kepada bentuk dan ciri-ciri. Manakala perkataan ‘lama’ boleh difahami dari aspek periodisasi atau masa. Winstedt telah memakai perkataan ‘klasik’ dalam bukunya yang berjudul The History of Classical Malay Literature. Sementara Siti Hawa Haji Salleh pula lebih suka menggunakan perkataan ‘tradisional’ dan Teuku Iskandar telah memakai perkataan ‘klasik’ dalam bukunya Keusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, 1995. Secara umumnya, kesusasteraan tradisional Brunei dapat diklasifikasikan kepada dua genre yang besar iaitu puisi dan prosa. Genre puisi tradisional mengandung dua bentuk asas iaitu pertama, karya puisi yang berbentuk lisan, dan kedua, karya puisi yang berbentuk tulisan termasuklah pantun, syair, mantera,
nyanyian rakyat, teka-teki dan perambahan Brunei. Manakala dalam genre prosa pula juga boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu yang berbentuk lisan dan tulisan. Karya prosa yang berbentuk lisan dibahagikan pula kepada dua bahagian iaitu lipurlara dan cerita rakyat yang mengandung cerita asal-usul, mitos, legenda, dongeng, binatang dan jenaka. Karya dalam genre prosa yang berbentuk tulisan pula mengandung cerita-cerita hikayat, kepercayaan rajang, kitab, undang-undang, chiri, dan cerita adaptasi moden.
[3] Untuk lanjutnya sila lihat: Edwar Djamanis, “Menggali Nilai-Nilai Budaya dalam Sastera Lama”, dalam Pangsura, keluaran Januari-Jun 2001.
[4] Sebenarnya, nilai budaya yang negatif bukanlah berfungsi sebagai contoh, ikutan. Malah ia berfungsi sebagai pengajaran; mengajar masyarakat agar tidak mencontohinya. Sesuai dengan fungsi utama sastera iaitu sebagai wadah pengajaran kepada manusia;pembangun akhlak, pembentuk sahsiah manusia dan seumpamanya.
[5] Dalam Hikayat Awang Kamaruddin (1992), ada mengisahkan tentang merampas tunangan orang, misalnya Lamang Labai (ayah kepada Awang Kamaruddin) telah merampas Dang Kasuma yang dikatakan gadis yang tercantik walaupun Dang Kasuma sudah bertunang dengan Anggayan Damit.
[6] Penggunaan ilmu sihir ini banyak sekali didapati dalam karya-karya tradisional Brunei umpamanya dalam cerita Hikayat Bujang Si Maliwala (1988), ada mengisahkan tentang Si Bujang Maliwala telah menyihir (memugai) Puteri Buyah Kedundung yang akhirnya menjadi isterinya.
[7] Untuk keterangan lebih lanjut mengenai adat sila lihat: Yura Halim, 1993. Adat Mengulum Bahasa. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 1-18. Juga lihat: Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid, 1999. Cerocok Budaya Brunei. Gadong: Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, hlm. 43-49.
[8] Nakara adalah sejenis material Budaya milik raja-raja Brunei yang digunakan semasa majlis malam berjaga-jaga. Menurut sejarah Brunei, material budaya ini adalah hadiah daripada Sultan Johor kepada Sultan Brunei yang pertama iaitu Sultan Muhammad ketika berlangsungnya perkahwinan baginda dengan puteri Sultana Johor.
[9] Menurut Kamus Dewan edisi keempat, (2007), perkataan sakral boleh dirujuk sebagai sesuatu yang dianggap suci yang berkaitan dengan upacara suci.
[10] Sila lihat: Haji Hashim bin Haji Abd. Hamid, (Dr.), 2002. Lanang Beladu Lanang. Gadong: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, hlm. 177.
[11] Untuk lanjutnya sila lihat: Hadijah Haji Hassan, 2006. Pantang Larang Kitani. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[12] Untuk lanjutnya sila lihat: Haji Mohamad Amin Hassan, “Metodologi Penyelidikan dan Penulisan Sejarah”, dalam Jurnal Darussalam, Bil. 1, 1992, hlm. 36.
[13] Untuk lanjutnya sila lihat: Haji Hashim Haji Abd. Hamid, (Prof. Madya Dr.), 2005. Tamadun Brunei: Suatu Dinamika Budaya dan Ketuanan Melayu. Barong-Barong Pabalat: Prof. Madya Dr. Hj. Hashim bin Hj. Abd. Hamid, hlm. 15.

MANUSIA DAN ZAMAN

Kerap kita terdengar mengenai pernyataan orang yang mengatakan “ikut peredaran zaman”
Persoalannya di sini ialah apakah betul pernyataan sedemikian.
Saya agak tertanya-tanya kenapa manusia sering kali menganggap pernyataan itu diakui betul? Seolah-olah zamanlah yang menentukan kehidupan manusia. Sedangkan zaman berkembang disebabkan oleh manusia!
Dengan akal fikiran yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada manusia, manusia dapat mengurus serta mengembangkan kehidupan mereka.
Dengan perkembangan atau pembangunan yang pesat, berubahlah zaman, dari zaman Jahiliah ke zaman berfalsafah, dari zaman batu ke zaman moden dan seumpamanya. Kesemua perkembangan itu adalah diusahakan oleh manusia sendiri. Jadi kenapakah manusia sering kali mengikut zaman?
Apa yang saya fikirkan betul ialah bukanlah manusia yang mengikut zaman malah disebaliknya. Zamanlah yang mengikut kehendak manusia. Semakin tinggi ilmu pengetahuan manusia, semakin majulah dunia ini dan berubahlah lagi zaman moden ini. Bila agaknya zaman moden ini berakhir ya?dan bila pula zaman pasca moden bermula ya?
Cuba kita bayangkan jika semua manusia tidak lagi memiliki akal yang waras. Semua manusia bodoh-bodoh belaka. Akan berubahkah zaman? Setentunya tidak. Mana mungkin binatang yang tidak mempunyai akal fikiran pula yang memajukan dunia serta merubah zaman.
Lihat saja trend pakaian kita hari ini, ramai pemuda dan pemudi terpengaruh dengan pakaian yang dibawa oleh orang barat. Ramai yang memakai pakaian yang ketat-ketat seperti memakai pakaian budak kecil dan sepertinya semua pakaian yang sesuai tidak lagi terjual?. Jika ditanya kenapakah mereka memakai pakaian yang kurang beretika itu. Mereka akan menjawab “mengikut peredaran zaman lah”. Nah! Jawapan yang begitu tipikal di kalangan masyarakat kita. Apakah dengan tidak memakai pakaian sedemikian, kita akan dikatakan ketinggalan zaman? Semua ini hanyalah semata-mata mementingkan material dunia sedangkan hal-hal kerohanian terpinggir.
Apakah bangsa kita ini sebuah bangsa yang tidak bermaruah kerana ada pendapat mengatakan bangsa yang suka meniru-niru itu adalah bangsa yang tidak bertamadun. Lihat tembok besar Cina, Pyramid di Mesir kesemuanya bukan hasil dari peniruan seni bina bangunan dari negara-negara lain.
Jadi dari persoalan-persoalan di atas, apa benarkah manusia yang mengikut zaman atau zaman sendiri yang mengikut kehendak manusia?

Assalamualaikum


Assalamualaikum,.terlebih dahulu ingin saya merakamkan ribuan terima kasih kepada para pengunjung blog ini kerana tanpa anda sekalian, apalah fungsi blog ini kerana tiada pengunjungnya. Saya rasa tidak keterlaluan jika saya memanggil awda sekalian sebagai 'pemakai baju-pelana' bagi blog ini. Sememangnya blog ini tidak memiliki baju pun kerana blog ini sendiri tidak memeiliki badan. Cuma makna simbolik sahaja yang boleh difikirkan oleh akal bestari anda sekalian. Semoga, dengan adanya blog ini, ia akan menjadi wadah yang beguna kepada semua baik dari segi apa isi kandungannya. Sekian dari saya Ak Hj Amirul Amin