Ahad, 7 Februari 2010

MANUSIA DAN ZAMAN

Kerap kita terdengar mengenai pernyataan orang yang mengatakan “ikut peredaran zaman”
Persoalannya di sini ialah apakah betul pernyataan sedemikian.
Saya agak tertanya-tanya kenapa manusia sering kali menganggap pernyataan itu diakui betul? Seolah-olah zamanlah yang menentukan kehidupan manusia. Sedangkan zaman berkembang disebabkan oleh manusia!
Dengan akal fikiran yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada manusia, manusia dapat mengurus serta mengembangkan kehidupan mereka.
Dengan perkembangan atau pembangunan yang pesat, berubahlah zaman, dari zaman Jahiliah ke zaman berfalsafah, dari zaman batu ke zaman moden dan seumpamanya. Kesemua perkembangan itu adalah diusahakan oleh manusia sendiri. Jadi kenapakah manusia sering kali mengikut zaman?
Apa yang saya fikirkan betul ialah bukanlah manusia yang mengikut zaman malah disebaliknya. Zamanlah yang mengikut kehendak manusia. Semakin tinggi ilmu pengetahuan manusia, semakin majulah dunia ini dan berubahlah lagi zaman moden ini. Bila agaknya zaman moden ini berakhir ya?dan bila pula zaman pasca moden bermula ya?
Cuba kita bayangkan jika semua manusia tidak lagi memiliki akal yang waras. Semua manusia bodoh-bodoh belaka. Akan berubahkah zaman? Setentunya tidak. Mana mungkin binatang yang tidak mempunyai akal fikiran pula yang memajukan dunia serta merubah zaman.
Lihat saja trend pakaian kita hari ini, ramai pemuda dan pemudi terpengaruh dengan pakaian yang dibawa oleh orang barat. Ramai yang memakai pakaian yang ketat-ketat seperti memakai pakaian budak kecil dan sepertinya semua pakaian yang sesuai tidak lagi terjual?. Jika ditanya kenapakah mereka memakai pakaian yang kurang beretika itu. Mereka akan menjawab “mengikut peredaran zaman lah”. Nah! Jawapan yang begitu tipikal di kalangan masyarakat kita. Apakah dengan tidak memakai pakaian sedemikian, kita akan dikatakan ketinggalan zaman? Semua ini hanyalah semata-mata mementingkan material dunia sedangkan hal-hal kerohanian terpinggir.
Apakah bangsa kita ini sebuah bangsa yang tidak bermaruah kerana ada pendapat mengatakan bangsa yang suka meniru-niru itu adalah bangsa yang tidak bertamadun. Lihat tembok besar Cina, Pyramid di Mesir kesemuanya bukan hasil dari peniruan seni bina bangunan dari negara-negara lain.
Jadi dari persoalan-persoalan di atas, apa benarkah manusia yang mengikut zaman atau zaman sendiri yang mengikut kehendak manusia?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan